Wednesday, December 3, 2008

WIRA SILAM KIMARAGANG

Siri 1 : Panglima Tumunda B. Panglima Yungonit

Nama asalnya "Tumunda bin Panglima Yungonit". Berdasarkan anggaran, saya merasakan beliau lahir sekitar 1850-an atau mungkin lebih awal. Ramai yang berpendapat beliau bukan lahir di Tandek berdasarkan fakta bahawa beliau adalah penghijrah dan telahpun berumur semasa tiba di kg. Salimandut (telah mempunyai beberapa orang isteri di tempat lain sebelum berkahwin di Kg. Salimandut) . Atas sebab ini jugalah saya berpendapat bahawa tarikh kelahirannya mungkin di bawah tahun 1850-an. Apapun, saya harap tarikh lahir dan tarikh kematiannya, usahlah diperdebatkan secara berlebih-lebihan. Ada yang lebih penting untuk diketahui iaitu ketokohan dan keperwiraannya.Papatah Melayu menyatakan: "Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi?" Seperti jua ayahandanya, berkat kehandalan dan kegagahannya serta "sumbangannya" kepada pihak British dalam "memerangi" lanun bolingingi di Teluk Marudu, beliau dianugerahkan (secara lisan?) oleh pihak British gelaran "Panglima". Beliau bukanlah "orang suruhan" British. Jauh sekali menjadi tali barut atau pengampu pihak penjajah. Saya fikir, beliau "memerangi" lanun bolingingi atas kehendak beliau sendiri yang berkemungkinan menganggu pelayaran beliau sebagai seorang yang suka mengembara di darat dan di lautan. Tidak mustahil juga beliau "melanun" pihak lanun itu sendiri? Biasalah. Bukankah itu adat dahulu kala? siapa pemenang sesuatu sayembara adu tenaga/ilmu, dialah yang lebih berhak memungut harta benda yang ada...(Tuhan saja yang Maha Mengetahui sejarah moyang saya/kami ini). Apapun, di mata pihak British, beliau "menyumbang" kepada keselamatan di perairan, maka itulah sebabnya mengapa beliau diberi anugerah gelaran "Panglima".Panglima Tumunda adalah penghijrah, lebih tepat lagi pengembara. Dipercayai berasal daripada petempatan di kawasan pesisir sungai Sonsogon dalam lingkungan daerah Pitas, Kota Marudu dan Sandakan. Dipercayai pernah mengembara melalui laut sehingga ke kepulauan Filipina, pesisir pantai timur hingga ke Sandakan dan pesisir pantai di Kudat dan Kota Belud.Kerana kehandalan dan wibawa yang ada pada beliau maka senanglah ia diterima oleh masyarakat/kelompok kecil suku kaum Kimaragang yang sedia ada di sekitar kawasan kg. Salimandut-kg. Nolotan (sekarang ini) sehinggakan beliau dilantik menjadi ketua komuniti (pangandalan atau wowoyo'on - bahasa Kimaragang) ketika itu.Antara sumbangan beliau kepada "perjuangan kebenaran" (?) pada zamannya ialah:1. Membantu pahlawan bernama "Kulindod" dalam beberapa siri peperangan di Pandasan, Kota Belud. (Nama kulindod ada tercatat dalam sejarah).2. Membantu Pahlawan "Sagunting" yang berpusat di Marak Parak, Kota Marudu untuk menangani persengketaan dengan Datu Unduk (Sagunting dan Datu Unduk tercatat dalam sejarah/Buku Teks).Agak menghairankan kerana beliau yang boleh dianggap setanding (mungkin juga lebih hebat) dengan Kulindod, Sagunting dan sebagainya tetapi tidak bangun menentang penjajah. Mengapa agaknya? Berkemungkinan beliau bukanlah seorang yang ingin dicanang sebagai wira atau pendekar. Dalam bahasa orang sekarang - "Tidak kejar glamour". Tapi pantang moyang saya/kita ini kalau dikacau, keluarlah "sisik tapuknya" (belangnya). Lihatlah apa yang berlaku kepada lanun-lanun Bolingingi yang cuba-cuba "mengusik" beliau di Teluk Marudu?Banyak yang "misteri" tentang lelaki pengembara ini, sehingga di akhir-akhir hayatnya beliau "melarikan" diri sehinggakan kematiannya dan makamnya tidak dapat dipastikan sehingga ke hari ini. Mengapa beliau berbuat demikian? Tuhan saja yang Maha Mengetahui asbabnya. Adapun "Tugu Peringatan Panglima Tumunda" yang ada di Kg. Salimandut (berhampiran SK. Salimandut) sekarang hanyalah "tugu" semata-mata.Banyak lagi lagenda yang boleh saya/kita tulis tentang moyang tercinta ini tapi dalam ruangan sekecil ini, memadailah catatan ini sebagai "Pembuka Minda" pembaca khususnya anak warisan Panglima Tumunda untuk terus menelusuri jejak sejarah seorang lelaki yang bukan hanya "tak lut dek senjata" tetapi diharap juga "tak luput dek zaman".

Sumber Rujukan:
1. Charles Kuminding & Kee Roslee, 2007. Dokumentasi "Tokow ' tokow" (belum diterbitkan) - atas izin.
2. Tokoh-tokoh budaya bangsa Kimaragang seperti Saidin B. Masabun, Majinau B. Injawan, Hj. Maralang bin Majun, Hj. Omar B. Majun (kesemua ini waris terdekat Panglima Tumunda), dan individu lain yang tidak dapat disenaraikan kesemuanya di sini.

3 comments:

MUFAKIRALAM said...

sanguru, nenek moyangmu pasti bangga punya cicit-cicit sepertimu. Teruskan usaha yang baik. Nampak kecil tapi besar maknanya kepada bangsamu..

Paranakan said...

Sanguru, tentunya lebih menarik lagi jika dapat dipaparkan Rajah salasila Panglima Tumunda yang lengkap dengan memasukkan keturunan dipihak isteri-isteri,Kokiban dan Yugo, serta kaitannya dengan keturunan Sambion. Mungkin Sanguru kena berhubung lagi dengan Cikgu Charles dan Kee Roslee untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara ini. Jika ini dapat dipaparkan maka jelaslah kedudukan kita sebagai " tokou eh tokou".

BUNG ADI said...

Paranakan, niat itu sudah lama kami (chrles dan Roslee) mau bikin cuma lampau besar dan "kulut" utk dimuatkan. Sabar-sabar dulu. Sebenarnya, slssilah itu sudah saya siarkan dalam blog "HMM". cuba lihat keluaran yang lepas-lepas. Memang ada kaitan erat aki saambion dan panglima Tumunda.