Saturday, December 6, 2008

" Seorang kawan pernah melancong di Indonesia sekitar awal tahun 2000 dan kebetulan berjumpa dengan seorang paranormal di sana. Menurut paranormal itu, di Kota Marudu, hanya ada seorang yang boleh dianggap unggul tahap keilmuannya iaitu seorang wanita tua. Dusun bukan Islam. Seorang tua yang sudah mencapai umur ratusan tahun..."



Bagi yang mengerti, tentu dapat mengagak dengan tepat, siapakah wanita yang dimaksudkan. Saya fikir, orang yang dimaksudkan ialah "odu lombus - RANSAYING BT. POPONG (1864-2004). Beliau ini "intolu poki'an" (bahasa dusun yang bermaaksud tiga kali mendapat cucu-cicit). Dari aspek ini pun kita sudah dapat mengambarkan betapa lanjutnya usia "odu lombus" kita ini.



Berdasarkan salasilah, saya berpendapat beliau sezaman dengan Aki Sambion dan Panglima Tumunda, namun pastinya beliau ketika itu masih kecil. Dalam bahasa dusun - "nokokosup" (sempat hidup sezaman dengan seseorang). Berdasarkan fakta ini, kita dapat pula menganggarkan bahawa Aki Sambion dan Panglima Tumunda sekurang-kurangnya lahir lebih awal lagi iaitu sekitar awal 1800 M.



Tidak perlulah saya perincikan kehebatan ilmu Odu lombus ini. Orang Tandek khususnya bangsa Kimaragang cukup arif dengan kehebatannya. Yang ingin saya tonjolkan di sini ialah umurnya yang panjang. Sayang sekali bangsa Kimaragang ini gagal memperjuangkan kehebatan umurnya yang panjang. Jikalau diperjuangkan, tidak mustahil Odu Lombus ini layak dimasukkan dalam Rekod Dunia.



Pengajaran yang mesti kita ambil : kita mesti menonjolkan kehebatan insan yang memang layak ditonjolkan. Jangan kerana sifat dengki, cemburu, iri hati dan ego, kita sengaja menyembunyikan kebaikan/keunggulan seseorang, walhal orang itu boleh mengangkat martabat bangsa. FIKIRKANLAH...

No comments: